Berita dan Foto : Ak. Mohd. Zaki Pg. Haji Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 4 Februari. - Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-40, Universiti Teknologi Brunei (UTB) petang tadi menganjurkan Majlis Bacaan Surah Yaa Siin dan Tahlil bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Jamalul Alam, Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit binti Al-Marhum Pengiran Bendahara Pengiran Anak Haji Abdul Rahman, serta Al-Marhum Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Haji 'Abdul 'Azim ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, yang berlangsung di Kubah Makam Diraja, Bandar Seri Begawan, di sini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap (Pendidikan Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr. Haji Azman bin Ahmad.
Turut hadir ialah pegawai-pegawai utama UTB, para pensyarah serta kakitangan universiti. Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, diikuti dengan bacaan beramai-ramai Surah Yaa Siin dan Tahlil, dan diakhiri dengan bacaan Doa Tahlil.